Setiap kali berdiri di atas sejadah, hati kita mahu tenang. Lidah membaca ayat demi ayat, badan tunduk dan sujud, tetapi fikiran berlari entah ke mana. Ada yang mengira kerja belum siap, ada yang membayangkan masalah keluarga, ada pula yang dihantui rasa takut dan gelisah. Khusyuk yang dicari, terasa jauh.
Ramai menyangka susahnya khusyuk ini berpunca daripada kurangnya iman. Hakikatnya, tidak semudah itu. Dalam banyak keadaan, anxiety boleh menjadi penghalang besar.
Apabila minda dipenuhi keresahan, otak sukar memberi fokus. Jantung berdebar laju, nafas terasa pendek, dan tubuh seakan tidak selesa untuk diam lama. Walaupun mulut membaca surah, fikiran sibuk bertarung dengan bayangan yang menakutkan. Ia bukan kerana tidak mahu khusyuk, tetapi kerana anxiety mengganggu ruang hati.
Nabi Muhammad SAW sendiri pernah mengingatkan, syaitan akan cuba mengganggu manusia dalam solat dengan bisikan yang mengalih perhatian. Namun bagi mereka yang berdepan anxiety, gangguan itu bukan sekadar bisikan, tetapi rasa cemas yang sukar dikawal.
Mengurus anxiety bukan bermaksud kita abaikan solat, sebaliknya menjadikannya sebahagian daripada rawatan. Memperlahankan bacaan, menarik nafas panjang sebelum takbir, dan memahami makna ayat yang dibaca boleh membantu menenangkan diri. Zikir selepas solat juga memberi kekuatan, seolah-olah menutup pintu yang tadi terbuka kepada keresahan.
Jika khusyuk terasa sukar, jangan terus menghukum diri. Mungkin itu tanda hati kita sedang meminta perhatian dan rawatan. Solat bukan hanya kewajipan, tetapi juga ruang untuk memulihkan jiwa.
Moga Allah memudahkan kita merasai nikmat khusyuk, dan menjadikan solat sebagai tempat kita kembali bernafas dengan tenang.
𝐃𝐀𝐇𝐀𝐑
Rujukan:
- Harvard Health Publishing. (2021). Physical symptoms of anxiety.
- American Psychiatric Association. (2023). What Are Anxiety Disorders?
- Al-Bukhari, M. I. (2002). Sahih al-Bukhari. Beirut: Dar Ibn Kathir.



