Dalam tulisan sebelum ini kita sudah melihat 10 tanda tubuh yang sering muncul ketika anxiety menguasai diri. Hari ini kita akan memberi fokus kepada salah satu tanda yang paling menakutkan bagi ramai orang iaitu nafas yang tiba-tiba pendek dan jantung yang berdebar tanpa sebab jelas.
Situasi ini sering berlaku secara mengejut. Kita sedang duduk tenang di pejabat, sedang berbual dengan keluarga, malah ada yang mengalaminya ketika sedang solat. Tiba-tiba dada terasa sesak, nafas tidak cukup, dan jantung berdegup kencang. Peluh mula keluar, fikiran pula panik memikirkan yang bukan-bukan.
Kebanyakan orang menyangka ia serangan jantung. Ada yang bergegas ke hospital, hanya untuk diberitahu bahawa jantung mereka sihat. Hakikatnya, ini adalah antara reaksi paling biasa bagi mereka yang berdepan dengan anxiety.
Keadaan ini berlaku kerana sistem saraf kita terlalu aktif. Badan masuk ke dalam mod “fight or flight”, seolah-olah ada bahaya besar yang sedang mengancam, walaupun sebenarnya tiada. Hormon adrenalin membanjiri tubuh, menyebabkan jantung berdegup laju dan nafas menjadi pendek.
Walaupun tidak berbahaya seperti serangan jantung sebenar, pengalaman ini cukup untuk membuatkan seseorang trauma. Malah ada yang mula takut untuk keluar rumah atau bersendirian, bimbang serangan itu berulang.
Apa yang perlu dilakukan ketika saat ini datang? Pertama sekali, bertenang. Duduk atau baring, tarik nafas perlahan melalui hidung, tahan sebentar, lalu lepaskan melalui mulut. Fokus kepada ritma nafas, bukan kepada degupan jantung. Ingatkan diri bahawa keadaan ini sementara dan akan reda.
Apbila kita memahami bahawa simptom ini adalah sebahagian daripada anxiety, ia dapat mengurangkan ketakutan. Apabila kita tahu apa yang berlaku, kita lebih bersedia menghadapinya.
Moga Allah memberi kita kekuatan untuk menenangkan hati ketika tubuh menjerit, dan semoga Dia menurunkan rasa damai walaupun jiwa dilanda gelora.
𝐃𝐀𝐇𝐀𝐑
Rujukan:
- Harvard Health Publishing. (2021). Physical symptoms of anxiety.
- American Psychiatric Association. (2023). What Are Anxiety Disorders?
- Kementerian Kesihatan Malaysia. (2022). Laporan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi: Kesihatan Mental.



